Sayyidina Abu ubaidah رضي الله عنه , Si Gagah dan Jujur


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم


Hari ini kita akan mengisahkan tentang seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang dijamin syurga iaitu Abu Ubaidah r.a. 
 
 Nama penuh Abu Ubaidah adalah Amir ibn Abdullah ibn Al-Jarrah. Merupakan salah seorang sahabat dijamin syurga. Terkenal dengan nama Abu Ubaidah Al Jarrah. Lahir di Makkah dari sebuah keluarga Quraisy yang terhormat. Keluarganya dari kalangan pedagang arab. Di antara orang yang terawal masuk islam , selepas Sayyidina Abu Bakar as Siddiq.  Berperawakan tinggi, kurus, berwibawa , bermuka ceria, selalu merendah diri dan amat pemalu.

SIFAT MULIA ABU UBAIDAH
 
Ketika dalam peperangan Uhud, tatkala pasukan muslimin kucar kacir dan banyak yang lari meninggalkan medan pertempuran, Abu Ubaidah berlari untuk mendapatkan Rasulullah ﷺ  tanpa takut sedikit pun terhadap pihak lawan dan rintangan. Apabila didapati pipi Nabi terluka, iaitu terhujamnya dua rantai besi penutup kepala beliau, segera ia berusaha untuk mencabut rantai tersebut dari pipi Nabi ﷺ..

Abu Ubaidah mulai mencabut rantai tersebut dengan gigitan giginya. Rantai itu pun akhirnya terlepas dari pipi Rasulullah  ﷺ  .. Namun bersamaan dengan itu pula gigi seri Abu Ubaidah ikut terlepas dari tempatnya. Abu Ubaidah tidak putus asa. Diulanginya sekali lagi untuk mengigit rantai besi satunya yang masih melekat dipipi Rasulullah ﷺ . hingga terlepas. Dan kali ini pun harus juga diikuti dengan lepasnya gigi Abu Ubaidah sehingga dua gigi depan sahabat ini rongak kerananya. Sungguh, satu keberanian dan pengorbanan yang tak ternilai.

Dalam riwayat yang lain Abu Ubaidah mencabut anak panah yang terkena pada rahang Baginda ﷺ  .

Rasulullah ﷺ  . memberinya gelaran “Gagah dan Jujur”. Suatu ketika datang sebuah delegasi dari kaum Kristian menemui Rasulullah ﷺ  . Mereka mengatakan,
 
 “Ya Abul Qassim! Kirimkanlah bersama kami seorang sahabatmu yang engkau percayai untuk menyelesaikan perkara kebendaan yang sedang kami pertengkarkan, kerana kaum muslimin di pandangan kami adalah orang yang disenangi.”
 
 Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka, “Datanglah ke sini petang nanti, saya akan kirimkan bersama kamu seorang yang gagah dan jujur.”

Dalam kaitan ini, Saidina Umar bin Al-Khattab r.a mengatakan, “Saya berangkat tergesa-gesa untuk menunaikan solat Zohor, sama sekali bukan kerana ingin ditunjuk sebagai delegasi. Setelah Rasulullah ﷺ selesai mengimami solat Zohor bersama kami, beliau melihat ke kiri dan ke kanan. Saya sengaja meninggikan kepala saya agar beliau melihat saya, namun beliau masih terus membalik-balik pandangannya kepada kami. Akhirnya beliau melihat Abu Ubaidah bin Jarrah, lalu beliau memanggilnya sambil bersabda, ‘Pergilah bersama mereka, selesaikanlah kes yang menjadi perselisihan di antara mereka dengan adil.’
 
 Lalu Abu Ubaidah pun berangkat bersama mereka.”

Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah al Jarrah.”

Dalam hadis yang lain Rasulullah ﷺ bersabda lagi.
“Tiap-tiap umat ada orang yang memegang amanah dan pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah al Jarrah.”

Abu Ubaidah juga seorang yang zuhud, tidak tamak kuasa dan harta. Di bawah pemerintahan khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam bagi menakluk kota-kota besar yang berada di bawah pemerintahan Rom seperti Kota Damsyik, Syria, Syam, Kota Aleppo, Kota Hims, Kota Antakiah dan Kota al Quds di Baitul Maqdis.

Ketika khalifah Umar al Khattab berkunjung ke Baitul Maqdis, beliau singgah di rumah Abu Ubaidah al Jarrah. Dilihatnya yang ada dalam rumah ketua panglima Islam itu hanyalah pedang, perisai dan pelana kuda sahaja. Lalu Saidina Umar bertanya kepadanya:

“Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu dari harta rampasan perang sebagaimana orang lain mengambilnya?” Tanya Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup bagiku,” jawab Abu Ubaidah al Jarrah.

Saidina Umar al Khattab melantik Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin tentera Islam bagi merebut kembali kawasan tanah Arab yang dijajah oleh kerajaan Rom. Beliau berjaya dalam tugas yang diberikan itu sehingga berjaya menakluk Baitul Maqdis.

Sepeninggalan Rasulullah ﷺ, Umar bin Al-Khattab ra mengatakan kepada Abu Ubaidah bin al-Jarrah di hari Tsaqifah, “Hulurkan tanganmu! Agar saya baiat kamu, kerana saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Sungguh dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah.’ Lalu Abu Ubaidah menjawab: Saya tidak mungkin berani mendahului orang yang dipercayai oleh Rasulullah ﷺ . menjadi imam kita di waktu solat (iaitu Saidina Abu Bakar as-Shiddiq ra), oleh sebab itu kita patut menjadikannya imam sepeninggalan Rasulullah ﷺ ).

 KONFLIK DENGAN AYAHNYA

Dalam peperangan badar,  Abu Ubaidah berperang tidak ada rasa takut mati . Tatkala perang berkecamuk, tiba-tiba ada dianatara tentera Quraisy yang berusaha menghadang Abu Ubaidah, beliay cuba menghindari dari hadangan tentera tersebut dan menjauh . Akan tetapi, upaya tersebut tidak berhasil. Tentera Quraisy mengikut ke mana sahaja Abu Ubaidah pergi bahkan menghadangnya dengan penuh berani. 

Disaat Abu Ubaidah dalam keadaan sempit dan susah untuk menghindar, maka Abu Ubaidah terpaksa menghayun pedangnya dan menebas orang tersebut  maka tersungkurlah tentera Quraisy itu. Rupanya orang itu adalah Ayahnya Abu Ubaidah, Abdullah bin Jarrah. Ayahnya telah bersumpah untuk membunuh anaknya sendiri kerana menjadi pengikut Rasulullah ﷺ  .  Ayahnya, Abdullah memburu anaknya sehingga dalam peperangan Badar, beliau berjumpa dengan anaknya yang terpaksa membuatkan Abu Ubaidah membunuh ayahnya. Abu Ubaidah berasa sangat sedih .

Beliau tidak membunuh ayahnya, yang beliau bunuh adalah kesyirikan yang ada pada peribadi ayahnya yang dengannya Allah menurunkan wahyu, 

لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat- Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.” (QS. Al-Mujadilah: 22)


PEPERANGAN DAN WABAK DI SYAMS

Abu Ubaidah bin al-Jarrah ra ikut serta dalam semua peperangan Islam, bahkan selalu memperolehi kemenangan besar dalam setiap peperangan tersebut. Beliau berangkat membawa pasukan menuju negeri Syam, dengan izin Allah beliau berjaya menakluk semua negeri tersebut.

Selepas kemenangan dalam perang Yarmuk, Abu Ubaidah ditugaskan sebagai gabenor wilayah Palestin dan Syam. Beliau menyambung aktiviti perluasan kuasa dan mula memasuki kawasan Turki iaitu Anatolia yang berada di jajahan Rom. Melihat kekuatan tentera lawan, beliau meminta bantuan tambahan dari Khalifah Umar.

Umar sendiri datang dari Madinah mengetuai rombongan yang penting ini. Malangnya kedatangan Umar disambut dengan berita bermulanya wabak. Serta-merta Umar membatalkan niat asal dan mahu bawa tenteranya kembali ke Madinah. Kecewa dengan keputusan Umar, Abu Ubaidah bertanya, “Adakah kau mahu lari dari takdir Allah, wahai Umar?” Khalifah pula menjawab, “Aku lari dari satu takdir kepada takdir Allah yang lain!”

Pada masa yang sama, Abdurrahman Bin Auf yang berada dalam rombongan tentera Umar berkongsi bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah menyuruh orang yang terkena wabak untuk tetap berada di kawasannya, dan orang luar untuk tidak masuk ke kawasan wabak.

Setibanya Umar di Madinah beliau mula mendapat lebih banyak berita ngeri dari Palestin tentang jumlah yang terjangkit dan jumlah kematian. Kerana tidak mahu kehilangan sahabat dan panglima tentera yang sangat disayanginya, Umar mengutus surat kepada Abu Ubaidah memerintahkannya untuk datang ke Madinah kononnya atas urusan rasmi. Apabila mendapat surat, Abu Ubaidah tersenyum kerana tahu apa niat sebenar Umar.

Beberapa lama kemudian, Umar mendapat surat jawapan balas dari Abu Ubaidah.
 
“Hai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu kamu memerlukan saya, akan tetapi seperti kamu ketahui saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah bebaskan saya dari rencana baginda dan izinkanlah saya tinggal di sini.”

Setelah Umar ra membaca surat itu, beliau menangis, sehingga para hadirin bertanya, “Apakah Abu Ubaidah sudah meninggal?” Umar menjawabnya, “Belum, akan tetapi kematiannya sudah di ambang pintu.” Benar firasat Umar. Abu Ubaidah meninggal setelah mengebumikan 2 isteri dan 3 anaknya.

Pada tahun 23 Hijrah, apabila terpaksa menguruskan penggantinya akibat ditikam, Umar berkata, "Kalaulah Abu Ubaidah masih hidup, sudah tentu dialah Khalifah seterusnya." Umar melantik 6 orang sebagai ahli majlis tertinggi dan menyuruh mereka melantik Khalifah dari kalangan mereka. Akhirnya Sayyidina Uthman r.a mendapat sokongan majoriti.


KEMATIANNYA

Menjelang kematian Abu Ubaidah ra, beliau berpesan kepada tenteranya, Sebelum meninggal dunia Abu Ubaidah al Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya, “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, puasalah di bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat.”. Assalamualaikum”.

Kemudian beliau melihat kepada Muaz bin Jabal ra dan mengatakan, “Ya Muaz! Imamilah solat mereka.” Setelah itu, Abu Ubaidah ra pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Setelah Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia, Muaz bin Jabal mengambil alih tempatnya lalu berucap di hadapan orang ramai.

“Wahai sekalian kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kematian seorang pahlawan,
yang demi Allah saya tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, lebih jauh pandangannya, lebih suka terhadap hari kemudian dan sangat senang memberi nasihat kepada semua orang. Oleh sebab itu kasihanilah beliau, semoga kamu akan dikasihani Allah.”



Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijrah di Urdun dalam wilayah Syam, kerana diserang penyakit taun. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun. Beliau di kebumikan di Urdun (Jordan).
___________________________________
Sumber ;
 
1. Wabak dalam Islam, Seerah Daily
2. Kenali Hazrat Abu Ubaidah Al-Jarrah, Liku-liku hidupku
3. Sumber yang lain-lain.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 TIPS HILANGKAN RASA HOMESICK DEKAT KOLEJ

Bercuti ke Pantai Genting, Tumpat

Kenali Kota Seribu Wali, Kota Tarim