Kenali Kota Seribu Wali, Kota Tarim

  



ِبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

Assalamualaikum dan apa khabar semua, kali ini saya ingin menceritakan serba sedikit tentang sebuah kota kecil yang terletak di negara Yaman yang bernama Tarim. Kota Tarim yang baroqah dan penuh bersejarah ini merupakan kota para kekasih Allah swt. Tarim adalah sebuah nama kota kecil yang terletak 1150 Km dari Kota Sana'a iaitu ibu kota Yaman dan juga berperanan sebagai ibu kota wilayah Hadramaut. Wilayah Hadramaut merupakan negeri asal dan tempat tinggal Nabi Hud a.s. dan Nabi Saleh a.s. . Nama Tarim diambil sempena seorang pengusaha di situ yang bernama Tarim bin Hadramaut yang diyakini hidup tiga ribu tahun sebelum kemuculan islam. Nama lain bagi Tarim adalah al-Ghanna yang merujuk kepada banyaknya pohon-pohon yang tumbuh serta sungai-sungai yang mengalir di situ.

 Kota ini dikelilingi oleh gunung-gunung yang tandus, lebih tepatnya lagi Kota ini berada di kawasan lembah dan mempunyai keluasan 2,894 km². Kota ini sangat jarang sekali hujan, hanya  dua atau tiga kali dalam setahun, akan tetapi kota ini termasuk kota yang subur dan makmur. Hampir keseluruhan masjid di Tarim tidak pernah kehabisan air, baik digunakan untuk megambil wuduk atau untuk diminum. Bahkan sebahagian besar masjid di Tarim mempunyai "Jabiah" yang bermaksud sebuah ruangan yang berisi kolam kecil untuk mandi atau sekadar mendingin badan di musim panas Kota Tarim.

Seperti yang telah saya tuliskan di atas, Tarim adalah kota Para kekasih Allah s.w.t  dan juga dikenali sebagai kota yang dipenuhi dengan keturunan Rasulullah Saw. Kota tarim yang unik ini  menjadi fokus pengujung dan penziarah dari merata ceruk dunia kerana cirinya sebagai tempat yang baroqah, berperanan sebagai markas besar bagi para aulia dan alim ulama tersohor, khususnya dari golongan ahlul-bait Rasulullah SAW semenjak turun temurun, sama ada yang masih hidup mahupu yang telah wafat.

Alim ulama mutakhirin sangat mengkagumi Kota Tarim, bahkan menganggap bahawa hanya tiga kota suci, iaitu Makkah Al-Mukarramah, Madinah Al-Munawwarah dan Baitulmaqdis sahaja yang dapat mengatasi kelebihan Kota Tarim.

 Ini tidaklah menghairankan kerana sahabat Rasulullah SAW yang paling teraula, iaitu Sayyidina Abu Bakar RA pernah mendoakan tiga perkara terhadap penduduk Tarim,  iaitu memohon Allah SWT agar memakmurkan kota tersebut,  memberkati mata airnya serta mendoakan kelahiran para solihin dan auliya Allah secara tidak berkeputusan di kota barakah ini. Alhamdulillah ternyata doa Sayyidina Abu Bakar RA ini dimakbulkan Allah SWT sehingga bumi Tarim sentiasa melahirkan generasi demi generasi golongan alim ulama serta para auliya’ Allah yang sentiasa menjadi panutan umat Islam bukan sahaja di wilayah Hadramaut sendiri, malah menjangkaui sehingga ke berbagai pelosok dunia ini.

    Malahan berkat doa Sayyidina Abu Bakar RA ini, masyarakat  Tarim sendiri mendapat tempiasnya sehingga lahirlah golongan penduduk yang berperibadi  mulia seperti bersifat pemalu, rendah diri, saling mengasihi, qana’ah iaitu menerima seadanya dan beramanah, selain berpegang kuat pada tradisi keislaman yang mana Mazhab Syafie menjadi mazhab utama di tempat ini secara turun temurun.

        Kota Tarim sangat istimewa  kerana berfungsi sebagai  markaz besar para ahlul-bait Rasulullah SAW dari jurai Ba-Alawi yang mula bermastautin di situ semenjak tahun 521 Hijrah. Mereka terkenal kuat dalam memegang ajaran serta tradisi salaf, malahan alim-ulama dari berbagai disiplin ilmu juga  sentiasa dilahirkan secara sambung menyambung di bumi barakah ini.

        Tarim juga terkenal dengan bilangan masjidnya yang banyak, mencukupi lebih 360 buah, suatu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan keluasan kota dan jumlah penduduknya. Sebahagian daripada masjid-masjid ini telah berumur ratusan tahun dan sering dilazimi oleh ahli-ahi makrifat, para aulia’ Allah dan rijal ghaib (wali yang tidak dikenal) secara tidak berkeputusan, contohnya Masjid Jamik Tarim, Masjid Ba Alawi, Masjid as-Segaf, Masjid al-Muhdor, Masjid Awwabin, Masjid al-Fath dan banyak lagi. Dikatakan di Tarim terpendam tiga macam barakah iaitu barakah turbah-turbahnya, barakah bukit-bukaunya serta barakah masjid-masjidnya sehingga umat Islam digalakan untuk bertabarruk dengannya.

        Tarim merupakan tempat persemayaman para pemimpin wali. Dalam kitab Masyraur Rawi disebutkan bahawa di Tarim terdapat tiga kompleks pemakaman yang utama dan tersohor, iaitu Pemakaman Zanbal yang merupakan kompleks pemakaman ahlul-bait Rasulullah SAW  yang paling besar, diantaranya terdapat para ulama, aulia’ dan solihin yang jumlahnya tidak terhitung. Dalam hal ini Syeikh Abdul Rahman as-Segaf pernah berkata bahawa di pemakaman Zanbal sahaja bersemayam lebih 10,000 para tokoh aulia, yang mana 80 daripada mereka telah mencapai darjat Wali Qutub (puncak kewalian).

        Tidak jauh daripada makam Zanbal pula terletak lokasi makam 70 para sahabat Rasulullah SAW yang pernah bersama baginda dalam perang Badar, jaraknya sejauh lemparan batu daripada makam Imam al-Faqih Muqaddam.

        Selain itu, terdapat juga Pemakaman Furaith yang diambil  namanya bersempena bukit di sekitarannya.  Alim-ulama dan para wali juga banyak dimakamkan di sini dengan bilangan yang mencukupi lebih 10,000 orang.

        Dikatakan bahawa di bawah Bukit Furaith terdapat kebun dari perkebunan syurga sehingga pernah disebut oleh Syeikh al-Akmal Hassab al-Wariy bin Ali bin Muhammad Mauladawilah:” bahawa orang yang menziarahi makam Tarim dengan ikhlas, bakal terlepas dari dosa-dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan dari rahim ibunya.” Disebutkan juga dalam kitab Jauharus Syaffaf, bahawa  para ahli makrifat  yang menziarahi pemakaman Tarim akan sentiasa memberikan  penghormatan serta pemuliaan yang tinggi dan khusus.

        Berdekatan Kota Tarim pula wujud lokasi yang mana terdapat makam Nabi Allah Hud AS yang dipelihara rapi dan tradisi ziarahnya dilakukan pada setiap bulan Shaaban, selain makam Nabi Allah Soleh AS di lembah Sarr serta makam-makam waliyullah yang lain mahupun peninggalan-peninggalan sejarah yang banyak bertaburan di merata tempat, masih dijaga dan dikunjungi oleh para pencinta waliyullah, ahlul-bait Nabi SAW dari dalam mahupun luar negara.

        Kota Tarim juga terkenal sebagai pusat ilmu dan dakwah. Jika kita mengimbau lintasan sejarah silam, iaitu seawal zaman tabit-tabiin, alim-ulama dan para waliyullah yang membawa syiar Islam ke merata pelosok alam, khususnya di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, selatan Siam, Kemboja, Brunei dan selatan Filipina, sebahagiannya adalah hasil keringat, perjuangan dan pengorbanan dari alim-ulama ahlul-bait Nabi SAW yang datang dari wilayah Hadramaut, termasuk dari Kota Tarim ini.

        Malahan Allah SWT dengan rahmat dan rahimNya telah terus memilih para ulama dari wilayah ini untuk  meneruskan legasi leluhur mereka, yang mana  pada hari ini di Kota Tarim telah wujud tiga pusat ilmu dan dakwah yang tersohor dan terkemuka di dunia iaitu RUBAT TARIM, DARUL MUSTAFA dan DARUL ZAHRA untuk muslimat serta UNIVERSITI Al-AHQAF yang berpusat di Mukalla tetapi mempunyai cawangannya di Tarim.  Ketiga-tiga pusat ilmu ini telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam melahirkan beribu-ribu kader agama yang dengan mereka tersebarlah ilmu dan amalan Islam yang tulen, selain mengukuhkan tali ikatan antara sadah alawiyyin dengan muhibbin di merata belahan dunia.

Pasar di Tarim sangat menarik , dimana pasar-pasar Tarim pun hanya khusus untuk lelaki sahaja untuk membeli keperluan dapur. Apabila menunggu pelanggan datang, mereka akan mengkhatamkan Al-Quran beberapa kali. Jika tiada pelanggan yang hadir, mereka akan mempelajari kitab sesama mereka sambil menyampaikan ilmu di pasar. Mereka juga selalu mendendangkan selawat dan qasidah. Seorang ulama Tarim pernah berkata  " Di pasar Tarim, aku dapati ada 200 lebih orang Wali (Kekasih Allah swt). Jika di pasar sudah banya , bayangkan pula di wali yang berada di masjid? Ketahuilah bahawa hanya wali sahaja yang mengetahui wali-Nya. Apabila azan berkumandang , mereka terus bergegas ke masjid. Jika mereka tidak sempat menutup kedai dan azan selesai dikumandangkan , mereka terus ke masjid tanpa mempedulikan gerai yang belum selesai ditutup. Bagi mereka, Allah swt lebih penting dari dunia. Semoga kita semua dapat mencontohi sifat mereka. Tiada perempuan di pasar, mereka terpelihara suci di rumah mereka atau di madrasah.

coretan tentang bidadari tarim , klik sini 

Lelaki di Tarim kebanyakan duduk di masjid-masjid. Seperti yang kalian tahu, masjid di Tahrim sungguh banyak. Walaupun banyak, namun masjid mereka sentiasa penuh bahkan bilangan jemaah yang bertahajjud di tengah malam seperti bilangan jemaah solat Jumaat. 

Siapa yang datang ke Kota Tarim pasti tidak mahu pulang, kerana berada di sana sentiasa mengingatkan kita pada hari akhirat. Dinasihatkan juga sesiapa yang ingin ke sana hendaklah menjaga hati agar tidak berprasangka buruk. 

Hal ini kerana diceritakan sebuah cerita seorang hamba Allah yang melihat seorang pak cik tua yang sedang membersih haiwannya di pagi hari ini. Lalu terdetik di hatinya "Tidak pergi masjid ke pak cik ini, dah nak subuh ni." . Apabila hamba Allah tersebut lalu semula di hadapan pak cik itu, tiba-tiba pak cik itu menegur "Jaga hati kamu". Hamba Allah itu menangis dalam hatinya kerana pak cik tua itu mengetahui apa yang dikatakan di dalam hatiya. Kebanyakan penduduk Tarim mengetahui isi hati kita, perbuatan dan segalanya tentang kita. Hal ini kerana kebanyakan dari mereka adalah Wali Allah s.w.t.


            Kesimpulannya, Kota Tarim adalah kota yang mulia dan agung di atas kewujudan ramai ulama dan auliya’ yang sentiasa menyuburkan  bumi tersebut  dengan keredupan perilaku serta kearifan mereka dalam  memegang, memelihara, mentarbiyah serta mendakwahkan tradisi ajaran-ajaran Islam dengan segala keasliannya secara turun temurun, apatah lagi ramai diantara mereka adalah tidak lain melainkan bertitisan zuriat Rasulullah SAW sendiri. Di antara nama-nama ulama dan aulia’ Tarim yang terdahulu adalah seperti Imam Ahmad al-Muhajir iaitu induk leluhur sadah alawiyyin, Imam Faqeh al-Muqaddam iaitu pelopor awal Tariqat Ba Alawi, Imam Abdul Rahman as-Seqaf, Imam Abdullah al-Haddad iaitu pengukuh dan pembaharu Tariqat Ba Alawi, Syeikh Umar al-Mudor, Habib Ahmad bin Umar as-Syathiri dan ramai lagi, serta alim-ulama terkini seperti Habib Salim bin Abdullah as-Syathiri, Habib Hassan as-Syathiri, Habib Ali Masyur bin Hafidz, Habib Umar bin Hafidz, Habib Kazhim, Habib Zaid Ben Yahya,  Prof Dr Habib  Abdullah Baharun dan lain-lain lagi. Semoga kita dapat mencontohi sifat-sifat mulia penduduk Tarim di dalam kehidupan kita.

             Rahmat dan kurniaan Allah tidak putus-putus mencucuri bumi barakah ini.  Maka  nyatalah isyarat yang di pernah disabdakan  oleh Rasulullah SAW : “ aku menghidu nafas Ar-Rahman  dari arah Yaman”

            Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Telah datang ahli Yaman, mereka adalah orang yang selembut-lembut hati dan selembut-lembut sifat, iman itu di Yaman dan fiqh itu di Yaman dan hikmah juga di Yaman.” 

(Hadis riwayat Muslim)

Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca coretan saya pada hari ini. Semoga catatan di atas dapat memberi manfaat kepada si pembaca dan semoga kita dapat belajar dan berziarah serta dapat menjejakkan kaki ke Bumi Berkah Tarim kelak. InshaAllah , Aminn Allahumma Amin. Segala yang baik datang daripada Allah , yang buruk datangnya dari saya. Saya juga di sini ingin memohon kepada yang membaca ini semua mendoakan saya agar dapat belajar di Tarim kelak dan doa jua untuk keluarga saya. Terima kasih doanya. 

(Segala catatan di atas diambil daripada gabungan nota " Ustaz Iqbal Zain" , Akhwat Akhir Zaman, Auzie Ishak serta sumber rujukan daripada beberapa artikel seperti myMetro dan lain-lain.


 


 





Ulasan

Good👍...xsabar nak baca tentang bidadari tarim pulak

Catatan popular daripada blog ini

7 TIPS HILANGKAN RASA HOMESICK DEKAT KOLEJ

Bercuti ke Pantai Genting, Tumpat